Isnin, 6 Disember 2010

salam Maal Hijrah 1432...

"Barang siapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nisa’:100)

sabda nabi SAW : “ Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari hari kemarin, dialah orang yang beruntung, Siapa yang hari ini keadaannya sama dengan kemarin maka dia rugi, Siapa yang keadaan hari ini lebih buruk dari kemarin, maka dia celaka..”


sejarah bermulanya tahun hijrah :

Suatu hari pada 622SM, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah diberitahu bahawa kaum kafir Quraisy Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Lalu Allah menurunkan wahyu memerintahkan baginda meninggalkan Madinah waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat, Abu Bakar as-Siddiq dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan berkenaan. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib supaya menggantikan tempat tidur baginda.


Pada malam itu, sekumpulan Quraisy mengepung rumah Rasulullah dengan niat mahu membunuh baginda. Selepas mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang lelaki sedang tidur di atas katil Rasulullah. Lalu, mereka begitu yakin bahawa Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan hampir pasti dapat membunuh baginda.


Bagaimanapun, apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali yang tidur di tempat berkenaan.Akibatnya, kaum Quraisy terpinga-pinga memikirkan bilakah Rasulullah keluar dari rumah berkenaan. Bagaimanapun, kaum Quraisy tetap mahu membunuh baginda dan mereka bersepakat mencari segenap pelusuk bagi menyempurnakan niat jahat itu. Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah pada malam itu dan tidak ada sesiapa yang mengetahui arah tujuan mereka serta tempat persembunyian baginda kecuali Aishah dan Asma’ serta orang gaji mereka, Abdullah.


Ketika hendak meninggalkan kota Makkah untuk berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. pernah berkata: “Demi Allah wahai Makkah! Sesungguhnya engkau adalah tanah yang paling kucintai di bumi Allah ini sekiranya pendudukmu tidak mengusirku keluar.” Selepas itu, baginda dan Abu Bakar bertolak ke Gua Thur, tidak jauh dari bandar Makkah. Ada riwayat menyatakan baginda ke sana pada 27 Safar.


Setiba di Gua Thur, Rasulullah dan Abu Bakar bersembunyi di situ selama tiga hari. Dalam saat getir itu, kaum Quraish masih mahu membunuh baginda. Mereka menghampiri gua berkenaan tetapi gagal menemui Rasulullah di situ. Mereka berpendapat, gua itu tidak berpenghuni selepas melihat sarang labah-labah yang masih elok menutupi kawasan berkenaan. Selepas kaum Quraisy beredar, Rasulullah dan Abu Bakar meneruskan perjalanan dengan menaiki unta yang dibawa orang gaji mereka, Abdullah.


Kaum Quraisy di Makkah kian marah dengan kehilangan Rasulullah. Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap baginda. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah, Rasulullah dan sahabat tiba di perkampungan kaum Bani Sabin. Penduduk di situ menyambut rombongan baginda dengan gembira.

Selepas sekian lama, Rasulullah dan sahabatnya akhir merasakan bakal menemui kejayaan. Ketika Rasulullah dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan baginda. Malah, penduduk Madinah yang baru memeluk Islam gembira untuk menemui Rasulullah.


Maka, pada Jumaat, Rasulullah akhirnya diumumkan sudah tiba di Madinah. Ada riwayat menyatakan baginda sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awal. Ketika itu, kaum Muslim keluar menyambut baginda. Rasulullah menunaikan solat di masjid di Lembah Ranuqna, tempat umat Islam berkumpul untuk melihat kelibat lelaki mereka sanjungi itu.


Sebaik sampai ke Madinah, Rasulullah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dengan golongan Ansar berdasarkan firman Allah:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Yang bermaksud: “Hanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

(Surah al-Hujurat, ayat 10)


Juga berdasarkan sabda Rasulullah:


المُسْلَمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَثْلِمُهُ، مَنْ كاَنَ فيِ حاَجَةِ أَخِيْهِ كاَنَ اللهُ فيِ حاَجَتِهِ

Yang bermaksud: “Seorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim lain; dia tidak menzaliminya dan tidak boleh mengaibkannya. Dan sesiapa menunaikan hajat saudaranya, Allah tetap akan menunaikan hajatnya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Baginda juga membina Masjid Nabawi. Tempat itu asalnya adalah sebuah dusun kurma kepunyaan Bani Najjar yang diwakafkan untuk tujuan berkenaan. Rasulullah menyegerakan pembinaan masjid di Madinah adalah untuk dijadikan pangkalan bagi sebuah negara baru yang ditegakkan baginda. Di sinilah segala kegiatan masyarakat dijalankan. Sesungguhnya, hijrah Rasulullah bersama sahabat baginda bukan bertujuan melarikan diri bagi menyelamatkan nyawa, tetapi kerana suatu tujuan yang lebih besar yakni meneruskan perjuangan ke arah mendaulatkan agama Islam.


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails