Selasa, 19 Januari 2010

Perlu perubahan minda agar Malaysia capai kejayaan

ABU DHABI: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mahu Malaysia menjadi contoh terunggul sebuah negara yang berjaya bagi abad ke-21 sambil menggesa rakyat Malaysia untuk mengubah minda mereka dan melihat kepada gambaran yang lebih besar bagi membolehkan hasrat itu tercapai.

Sambil merumuskan apa yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri berkata: "Bagi mengubah Malaysia, kita perlu berfikir secara besar, kita perlu berani, kita perlu melihat dunia ini melalui sudut yang berbeza.

"Kita tidak boleh melihat ke dalam diri, kita tidak boleh bersikap remeh temeh dan kita tidak boleh bersikap iri hati di antara satu sama lain..jika kita tidak mengubah sikap dan minda rakyat Malaysia, kita tidak akan menjadi sebuah negara abad ke-21."

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam 1Malaysia yang dianjurkan sempena lawatannya ke Dubai, Isnin. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Yahaya Abdul Jabar.

Najib, yang menamatkan lawatan rasmi ke UAE hari ini, sebelum itu telah melawat beberapa projek ikon di Dubai seperti bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa dan pembangunan bandar Meydan.

"Tempat ini hiruk pikuk dengan pembinaan, projek-projek pembangunan. Mereka mempunyai visi yang jelas dan keberanian dan mereka mempunyai komitmen bagi menyampaikan dan melaksana projek dengan pantas dan tepat masa. Semua ini adalah ramuan yang penting.

"Ia satu pengajaran bagi saya dan kepada kita semua jika anda mahu mengubah Malaysia.Kita mesti mulakan dengan satu visi dan kita mesti jelas dan mempunyai keberanian untuk melihat kepada satu gambaran yang lebih besar," katanya.

Najib berkata Arab Saudi pun, yang dilawati beliau sebelum datang ke UAE, juga memperkenalkan perubahan di dalam negara mereka termasuk dalam bidang pendidikan.

Perdana Menteri memerhatikan bahawa masa adalah intipatinya jika Malaysia mahu bergerak ke depan.

"Kita tidak boleh berlengah. Jika anda mempunyai bangunan tertinggi, dalam masa singkat orang lain mungkin akan mengatasi anda dengan bangunan yang lebih tinggi," katanya sambil menambah bahawa dunia telah menjadi sebuah tempat yang kompetitif dengan tiada ruang untuk berpuas hati.

"Jika anda fikir telah melakukan yang terbaik, jika anda relaks dan berlingkar, orang lain akan melakukan yang lebih baik dan mendahului anda," katanya. -

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails