Ahad, 31 Januari 2010

Mengimbau Memori

bergambar dengan peminat setia ku selepas rapat umum di KHAR..
gambar-gambar sepanjang pilihanraya berlangsung sehingga hari kemenangan ku...

bersama dengan pencadang dan penyokong yang banyak membantu sepanjang PRK...




bergambar selepas pengumuman kemenangan....
khusyuknya wakil-wakil calon ku menyiapkan poster untuk di gantung....
muslimat power! power! power!...

TERIMA KASIH SEMUA


Bismillah…

Syukur ke hadrat Illahi diatas kurniaan Iman dan Islam, setelah tiga hari berjaya dalam pilihanraya kampus menyebabkan saya terlupa semua perkara, yang ada di fikiran hanya ingin menyiapkan assigment yang tertangguh sepanjang pilihanraya berlangsung. Hari ini baru tergerak jari untuk meng"update" blog ini.

Buat sahabat-sahabat yang banyak membantu sepanjang pilihanraya berlangsung, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga juga terima kasih kepada pengundi dan penyokong setia saya kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili suara anda. InsyaAllah saya akan berusaha sedaya upaya melaksanakan manifestor dan amanah yang diberikan. Jasa baik anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya.

Saya juga berharap sahabat-sahabat sudi menegur jika saya ada melakukan kesilapan atau saya terleka. Hasrat saya bertanding adalah untuk menyampaikan suara anda, maka saya menyeru sahabat-sahabat sekalian sentiasalah bersama saya untuk merealisasi hasrat anda. InsyaAllah...semoga Allah permudahkan segala urusan.

MAHASISWA PENDIDIK PEMANGKIN KEINTELEKTUALAN

Sabtu, 23 Januari 2010

UKHWAHFILLAH ITU INDAH


"Tidaklah dua orang saling mencintai kerana Allah, melainkan orang yang paling dicintai Allah, diantara keduanya ialah orang yang paling besar cintanya kepada saudaranya." HR. Ibnu Hibban dan Al-Hakim

SAHABATKU,
Persahabatan yang terjalin ini merupakan persahabatan yang tiada tolak bandingnya. Indahnya ukhwah kita sukar digambarkan dengan kata-kata. Segalanya terbina kerana kita mempunyai matlamat yang sama. Apa matlamat kita wahai sahabat?? Matlamat kita MARDHATILLAH ( keredhaan Allah ).
SAHABATKU,
Sesungguhnya persaudaraan kita merupakan buah dari ketinggian akhlak, dan tafarruq (perselisihan) kita merupakan akibat dari rendahnya akhlak. Akhlak yang bagus membuahkan rasa saling cinta, saling sayang, dan saling memberikan manfaat. Kerana itu, cinta melahirkan ukhuwah. Ukhuwah yang telah digambarkan secara mengharukan oleh Bilal, Amar dan Zaid, atau Umar, Ali dan Utsman, yang bersanding dan bercinta kerana Allah. Kasih sayang diantara mereka merupakan gambaran janin ukhuwah yang dikandung dalam perut iman, dan terlahir dari ibu yang bernama iman

SAHABATKU,
Dalam perjuangan ini aku tahu diri ini tidak pernah bersendirian kerana dirimu sentiasa menjadi peneman dalam setiap langkahan. Syukran sahabat tiada ukhwah seindah ukhwah ini.

UNDILAH SAYA-CALON FSSK


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca setia blog saya.Alhamdulillah hari ini merupakan hari ke-2 saya memikul tanggungjawab sebagai calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kampus sesi 09/10. Ya, walaupun saya belum dikatakan berjaya memikul tanggungjawab sebagai ahli kabinet baru MPP, berat saya katakan, prosess menjadi calon juga adalah satu tanggungjawab yang berat! Hal ini kerana, di sinilah medan kita menabur manifesto, membina keyakinan orang lain terhadap kita, dan ke arah bersedia menerima tanggungjawab yang lebih besar nanti iaitu ahli kabinet MPP yang akan melaksanakan janji2 itu, yang mewakili ribuan suara Mahasiswa UPSI, mahasiswa pendidik yang bakal mendidik jiwa-jiwa yang dahagakan ilmu.

Benarlah kata2 seorang guru, menjadi calon ibarat suatu perniagaan. Kita menjual harapan kepada mahasiswa mahasiswi, dan mereka mengharapkan kepuasan daripada kita. Walaupun kita bukanlah manusia yang sempurna untuk memberikan kepuasan kepada semua pihak, namun sedikit roh tanggungjawab, menuntut kita untuk MESTI melakukannya.

Inilah pengalaman berharga buat saya dan anda semua!

Undilah saya , wakil suara anda :

Noranoo Bt Arifin
Pendidikan Islam Semester 4
Calon Fakulti FSSK

~Mahasiswa Pendidik Pemangkin Keintelektualan~

Kewajiban Mengundi Menurut Islam

Kebanyakan orang Islam masih tidak jelas kedudukan demokrasi, pilihan raya dan politik moden hari ini dari perspektif agama mereka sendiri. Akibat ketiadaan asas agama yang mantap, dan akibat ceteknya mengkaji politik semasa, tidak kurang anggota masyarakat Islam memandang remeh pilihan raya dan tanggungjawab keluar pergi mengundi untuk memilih pemimpin. Apa tidaknya, ramai sekali yang percaya bahawa "politik itu kotor" atau "politik itu bikinan manusia" sedang "agama itu suci" atau

"agama itu dari Tuhan".

Perlulah ditegaskan bahawa Islam itu menyeluruh dalam semua segi kehidupan, kekal sepanjang masa, dan sesuai diamalkan di mana-mana. Islam itu ada prinsip-prinsip yang tetap dan cabang-cabang umum yang anjal (boleh berubah-ubah). Oleh itu, Islam serasi diikuti dan tidak menimbulkan konflik jiwa penganut-penganutnya yang faham. Islam menuntut penganut-
penganutnya agar meletakkan asas-asasnya dalam mengendalikan kehidupan ini. Oleh itu, pilihan raya dan mengundi harus
dinilai dari perspektif agama.

Sebelum membincangkan secara khusus topik "kewajiban mengundi menurut Islam", marilah kita mengkaji beberapa isu asas tentang politik, demokrasi, kepimpinan Islam dan kewajiban menegakkan kerajaan yang adil.

Pertama, kedudukan politik dalam Islam.

Orang ramai masih keliru antara "politik sebagai amalan praktis" dengan "politik sebagai kepimpinan dan kuasa memerintah". Islam memandang penting kedua-duanya. Ertinya, Islam melihat politik sebagai kepimpinan dan kuasa pemerintahan. Tanpa kepimpinan, hancur musnah masyarakat manusia. Dan tanpa kuasa pemerintahan, bertaburan asas-asas Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap. Oleh itu, Islam memerlukan politik. Politik sangat diutamakan
oleh Islam, malah menjadi sendi utama untuk menjamin aqidah. Aqidah yang disimpan dalam hati belum tentu selamat tanpa kuasa (politik) yang menjaganya. Apatah lagi apabila manusia hidup bermasyarakat di sebuah negeri atau negara.

Memang benar amalan orang-orang politik ada kalanya sangat kotor -- sepak terajang, tikam menikam menjadi lumrah sehingga terkenal ungkapan "dalam politik, tiada lawan dan kawan yang kekal". Tetapi Islam sendiri tidak mengiktiraf amalan politik ini. Malah, Islam menetapkan adab, prinsip dan etika dalam urusan-urusan melaksanakan politik. Politik Islam adalah politik berakhlak, bukan politik tanpa moral. Tiadanya atau lemahnya adab dalam amalan politik harian bukanlah salahnya Islam. Atau, menjadikan politik itu tidak relevan dengan Islam. Malah, Islam menuntut politik seperti itu diperbaiki (islah) dan dibuang. Bagaimana? Jika sesuai melalui nasihat (misalnya, ceramah dan tulisan), nasihatlah. Jika tidak cukup, tukar sahaja pemimpin atau parti politik yang tidak bermoral itu? Bagaimana? Banyaklah caranya yang sah menurut amalan sekarang dan boleh diterima oleh Islam -- misalnya "undi tidak percaya", "demonstrasi" dan juga "pilihan raya".


Kedua, demokrasi.

Memang benar demokrasi dibina oleh manusia. Ia merupakan ideologi manusia yang berasaskan rakyat. Tetapi model demokrasi itu tidaklah terlalu jauh dari konsep dan amalan "syura" dalam Islam. Tentunya syura, khususnya ketika zaman empat Khalifah Islam yang unggul, unsur pemilihan ini ada. Dalam konteks itu, dan peluang yang ada, demokrasi diperbolehkan Islam -- khususnya sistem ini memberi ruang kepada umat Islam memilih dan melantik pemimpinnya sendiri. Panjang lagi diskusi tentang hal ini, misalnya hubungan konsep demokrasi dengan penggubalan undang-undang, tetapi bolehlah disimpulkan bahawa DEMOKRASI TIDAKLAH BERCANGGAH SEPENUHNYA DENGAN ISLAM. Malah, dalam keadaan negara sekarang, umat Islam wajiblah memanfaatkan proses demokrasi untuk menjaga maslahat ummat dan tuntutan agama.


Ketiga, ciri kepimpinan Islam dan moral.

Dalam Islam, bukan hanya dasar parti dan dasar negara yang diutamakan. Turut menjadi asas utama politik ialah ialah ciri-ciri pemimpin itu sendiri. Jika seseorang pemimpin atau sesebuah parti tidak mendukung ciri-ciri kepimpinan sebagaimana yang digariskan oleh Islam, maka terlucutlah haknya untuk memimpin umat dan negara. Imam sembahyang mesti ada syarat-syaratnya. Apatah lagi imam (pemimpin) negara yang mempunyai jutaan manusia.

Dalam Islam, sudah menjadi tradisi dan perbahasan panjang bagaimana cara-cara dan kedudukan politik negara jika pemerintah itu zalim, menindas rakyat, lari dari cita-cita keadilan dan menutup diri daripada mendengar kritikan. Ulama sudah lama membahaskannya dan teks-teks kajian mereka sudah cukup hebat sehingga banyak pengajaran asasi boleh ditimba daripadanya. Misalnya, pemerintah itu hanya melakukan maksiat pada dirinya dan di kalangan keluarganya, tetapi masih menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, pemerintah seperti ini tidaklah dianggap perlu dilawan dengan keras.

Misal kedua, jika pemerintah itu sudah menindas rakyat dan kezaliman berleluasa, sementara rakyat pula ada kekuatan untuk menjatuhkannya, maka ulama memutuskan bolehlah pemerintahan itu dijatuhkan walaupun bersenjata (jika sudah tiada jalan-jalan yang lain)! Kesimpulannya, pemimpin yang buruk dan parti yang mengamalkan dasar-dasar yang merugikan rakyat WAJIBLAH digantikan dengan pemimpin dan parti yang lebih baik.


Keempat, pilihan raya dan mengundi.

Apa ertinya? Pilihan raya bertujuan memberi setiap rakyat yang layak untuk memilih pemimpin. Oleh kerana pilihan raya itu berjalan secara aman dan menurut asas-asas demokrasi itu, maka ia mestilah diberikan keutamaan dalam memilih calon pemimpin dan parti yang memerintah. Tujuannya ringkas tetapi penting: MENGUNDI
SEBAGAI IBADAT AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR (tegak kebaikan, buang kemungkaran dan kezaliman).

Peranan amar maaruf nahi mungkar mesti berjalan sepanjang masa (bukan ketika pilihan raya dan pada hari mengundi sahaja) dan melalui berbagai-bagai cara (bukan melalui undi sahaja). Tetapi pilihan raya dan undi sangatlah mustahak kerana secara automatis pilihan raya dan undi memberi peluang rakyat dan umat Islam menukar pemimpin dan parti politik.

Cara-cara lain seperti berceramah, mengajar, menulis dan menunjuk perasaan (demonstrasi) juga tugas amar maaruf nahi munkar. Tetapi kesannya tidak sama dengan mengundi. Lagi pun, mengundi hanya sekali dalam tempoh lima tahun. Sedangkan cara-cara lain boleh berlaku sepanjang masa mengikut kekuatan rakyat dan kesesuaian suasana politik. Oleh itu, kita simpulkan WAJIBLAH UMAT ISLAM MENGUNDI BAGI MEMILIH PEMIMPIN & PARTI POLITIK YANG LEBIH BAIK untuk Islam, umat Islam, rakyat dan negara ini.

Tulisan ini bukan alat kempen pilihan raya. Semua perbincangan ini diajar di IPT dan ada dalam teks-teks kajian Islam yang benar dan adil. Saya cuba jelaskan prinsip-prinsip Islam tentang politik, demokrasi, kepimpinan negara, pilihan raya dan undi. Terpulanglah kepada individu umat Islam untuk memikirkannya dan mengamalkannya

PENDAFTARAN MINOR/BIDANG TUMPUAN UNTUK PELAJAR SEMESTER KE-2

PERHATIAN

  1. SEMUA PELAJAR YANG BERADA DI SEMESTER KEDUA PENGAJIAN DIWAJIBKAN MEMBUAT PENDAFTARAN
    MINOR/BIDANG TUMPUAN MULAI 26 JANUARI 2010 (SELASA) hingga 5 FEBRUARI 2010 (JUMAAT).


  2. ANDA PERLU MELENGKAPKAN BORANG PERMOHONAN MENGIKUTI MINOR/BIDANG TUMPUAN DI FAKULTI MASING-MASING DAN MENDAFTAR SECARA ONLINE MENERUSI PORTAL MASING-MASING DI http://myupsi.upsi.edu.my.

  3. SILA PASTIKAN ANDA MENDAFTAR UNTUK MENGELAKKAN MASALAH SEMASA PRA-PENDAFTARAN KURSUS SEMESTER 1 SESI 2010/2011 DILAKSANAKAN

  4. KEPRIHATINAN ANDA BERHUBUNG PERKARA INI AMAT DIALU-ALUKAN DAN DIUCAPKAN TERIMA KASIH.
    • Pelajar di semester 7 dinasihatkan supaya menyemak minor masing-masing sebagai persediaan menjalani Latihan Mengajar.

Jumaat, 22 Januari 2010

PTPTN untuk Pelajar 2008 dan 2009


Salam sejahtera.

Adalah dimaklumkan, pihak bendahari telah menerima data pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun 2008 dan 2009 dari PTPTN untuk tindakan potongan yuran pengajian.

Dengan ini, pelajar akan mula menerima wang pinjaman pada 26 Januari 2010 (Selasa) sepertimana yang dinyatakan dalam email dari pihak PTPTN.


Selasa, 19 Januari 2010

Perlu perubahan minda agar Malaysia capai kejayaan

ABU DHABI: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mahu Malaysia menjadi contoh terunggul sebuah negara yang berjaya bagi abad ke-21 sambil menggesa rakyat Malaysia untuk mengubah minda mereka dan melihat kepada gambaran yang lebih besar bagi membolehkan hasrat itu tercapai.

Sambil merumuskan apa yang perlu dilakukan bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri berkata: "Bagi mengubah Malaysia, kita perlu berfikir secara besar, kita perlu berani, kita perlu melihat dunia ini melalui sudut yang berbeza.

"Kita tidak boleh melihat ke dalam diri, kita tidak boleh bersikap remeh temeh dan kita tidak boleh bersikap iri hati di antara satu sama lain..jika kita tidak mengubah sikap dan minda rakyat Malaysia, kita tidak akan menjadi sebuah negara abad ke-21."

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam 1Malaysia yang dianjurkan sempena lawatannya ke Dubai, Isnin. Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Datuk Yahaya Abdul Jabar.

Najib, yang menamatkan lawatan rasmi ke UAE hari ini, sebelum itu telah melawat beberapa projek ikon di Dubai seperti bangunan tertinggi di dunia Burj Khalifa dan pembangunan bandar Meydan.

"Tempat ini hiruk pikuk dengan pembinaan, projek-projek pembangunan. Mereka mempunyai visi yang jelas dan keberanian dan mereka mempunyai komitmen bagi menyampaikan dan melaksana projek dengan pantas dan tepat masa. Semua ini adalah ramuan yang penting.

"Ia satu pengajaran bagi saya dan kepada kita semua jika anda mahu mengubah Malaysia.Kita mesti mulakan dengan satu visi dan kita mesti jelas dan mempunyai keberanian untuk melihat kepada satu gambaran yang lebih besar," katanya.

Najib berkata Arab Saudi pun, yang dilawati beliau sebelum datang ke UAE, juga memperkenalkan perubahan di dalam negara mereka termasuk dalam bidang pendidikan.

Perdana Menteri memerhatikan bahawa masa adalah intipatinya jika Malaysia mahu bergerak ke depan.

"Kita tidak boleh berlengah. Jika anda mempunyai bangunan tertinggi, dalam masa singkat orang lain mungkin akan mengatasi anda dengan bangunan yang lebih tinggi," katanya sambil menambah bahawa dunia telah menjadi sebuah tempat yang kompetitif dengan tiada ruang untuk berpuas hati.

"Jika anda fikir telah melakukan yang terbaik, jika anda relaks dan berlingkar, orang lain akan melakukan yang lebih baik dan mendahului anda," katanya. -

Amalan 'Collegiality' bolehkan persaingan sihat IPTA menerusi pengukuhan kerjasama

PENGURUSAN universiti menyambut baik inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi memberi penekanan terhadap amalan 'Collegiality' atau keserakanan kerana ia membolehkan persaingan sihat antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi pengukuhan kerjasama sesama mereka.

Penekanan inisiatif itu disifatkan tepat pada masanya dan relevan dengan cabaran semasa sektor pengajian tinggi yang antara lain perlu beroperasi dalam keadaan sumber terhad.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, berkata langkah itu secara tidak langsung bakal mengoptimum penggunaan sumber di IPTA termasuk menerusi penggemblengan ahli akademik dan pelajar bagi menjalankan penyelidikan lebih menyeluruh.

“Contohnya, pelajar dan pensyarah UPSI boleh bekerjasama dengan warga Fakulti Pendidikan IPTA seluruh negara bagi menjalankan sesuatu penyelidikan, membolehkan hasilnya lebih menepati keperluan warga pendidikan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas Amanat Tahun Baru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini yang memberi fokus kepada amalan dan penerapan budaya kualiti, inovasi dan collegiality (keserakanan) untuk diserapkan semua IPT di seluruh negara.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata inisiatif menyuburkan budaya keserakanan antara IPTA bakal mewujudkan sinergi membabitkan pelbagai disiplin ilmu dalam pengajaran dan penyelidikan.

“Contohnya, kajian dan kursus pengurusan alam sekitar boleh membabitkan pakar kejuruteraan dan sains alam sekitar, perundangan, kewangan, perancang bandar, seni bina, sosiologi dan pengajian Islam,” katanya.

Bagi Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, keberkesanan inisiatif itu dapat dipastikan bermula dengan pemantapan amalan keserakanan dalam sesebuah universiti sebelum ia diperluas kepada kerjasama dengan IPTA lain.

Seterusnya, katanya, kerjasama itu boleh diperluas merangkumi pembabitan pihak industri supaya kesannya turut memberi impak besar kepada pembangunan negara.

“Berdasarkan pengalaman UPM melaksanakan amalan keserakanan bukan saja bersama IPTA lain malah industri, didapati pengukuhan amalan itu bermula antara fakulti dan jabatan dalam universiti adalah penting sebelum ia diperluas sesama universiti,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata langkah kementerian untuk terus memberi penekanan terhadap kualiti dan inovasi membuktikan komitmen sektor pengajian tinggi menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Beliau mencadangkan antara langkah menyemarak budaya itu di universiti adalah menjadikan aktiviti berkaitan penyelidikan dan inovasi sebahagian penilaian pada setiap semester.

“UTHM sudah melaksanakan langkah ini dengan antaranya mengadakan pertandingan reka cipta dan inovasi serta projek tahun akhir berkaitannya, sekaligus, menarik lebih banyak penyertaan pelajar siswazah dan pascasiswazah dalam aktiviti itu,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails