Penekanan inisiatif itu disifatkan tepat pada masanya dan relevan dengan cabaran semasa sektor pengajian tinggi yang antara lain perlu beroperasi dalam keadaan sumber terhad.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob, berkata langkah itu secara tidak langsung bakal mengoptimum penggunaan sumber di IPTA termasuk menerusi penggemblengan ahli akademik dan pelajar bagi menjalankan penyelidikan lebih menyeluruh.
“Contohnya, pelajar dan pensyarah UPSI boleh bekerjasama dengan warga Fakulti Pendidikan IPTA seluruh negara bagi menjalankan sesuatu penyelidikan, membolehkan hasilnya lebih menepati keperluan warga pendidikan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas Amanat Tahun Baru Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, baru-baru ini yang memberi fokus kepada amalan dan penerapan budaya kualiti, inovasi dan collegiality (keserakanan) untuk diserapkan semua IPT di seluruh negara.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata inisiatif menyuburkan budaya keserakanan antara IPTA bakal mewujudkan sinergi membabitkan pelbagai disiplin ilmu dalam pengajaran dan penyelidikan.
“Contohnya, kajian dan kursus pengurusan alam sekitar boleh membabitkan pakar kejuruteraan dan sains alam sekitar, perundangan, kewangan, perancang bandar, seni bina, sosiologi dan pengajian Islam,” katanya.
Bagi Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, keberkesanan inisiatif itu dapat dipastikan bermula dengan pemantapan amalan keserakanan dalam sesebuah universiti sebelum ia diperluas kepada kerjasama dengan IPTA lain.
Seterusnya, katanya, kerjasama itu boleh diperluas merangkumi pembabitan pihak industri supaya kesannya turut memberi impak besar kepada pembangunan negara.
“Berdasarkan pengalaman UPM melaksanakan amalan keserakanan bukan saja bersama IPTA lain malah industri, didapati pengukuhan amalan itu bermula antara fakulti dan jabatan dalam universiti adalah penting sebelum ia diperluas sesama universiti,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata langkah kementerian untuk terus memberi penekanan terhadap kualiti dan inovasi membuktikan komitmen sektor pengajian tinggi menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.
Beliau mencadangkan antara langkah menyemarak budaya itu di universiti adalah menjadikan aktiviti berkaitan penyelidikan dan inovasi sebahagian penilaian pada setiap semester.
“UTHM sudah melaksanakan langkah ini dengan antaranya mengadakan pertandingan reka cipta dan inovasi serta projek tahun akhir berkaitannya, sekaligus, menarik lebih banyak penyertaan pelajar siswazah dan pascasiswazah dalam aktiviti itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan